PERATURAN-PERATURAN PERLU RUKUN TETANGGA (1975)
1. PENDAHULUAN
1.1. Skim Rondaan Sukarela adalah suatu skim yang dipohon
oleh pemastautin sukarelawan di bawah Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Perlu
Rukun Tetangga (1975), Pindaan 1988.
1.2. Skim ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Rukun
Tetangga yang bertindak sebagai Jawatankuasa Skim, manakala rondaan
dilaksanakan oleh tidak kurang dari 20 pemastautin sukarelawan yang memohon
untuk melaksanakan rondaan di sebahagian atau di seluruh kawasan Rukun
Tetangga.
1.3. Skim Rondaan Sukarela dijangka menjadi tulang
belakang bagi program serta aktiviti Rukun Tetangga kerana ia boleh mencegah
kejadian dan gejala sosial negatif di samping dapat merapatkan hubungan Rukun
Tetangga dengan penduduk setempat.
2. TAFSIRAN
2.1. Skim Rondaan Sukarela bermaksud satu skim
yang dipohon sendiri oleh pemastautin dan apabila diluluskan akan dikendalikan
sepenuhnya oleh Jawatankuasa Skim dengan kerjasama Pemastautin Sukarelawan
dalam sesuatu Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.
2.2. Jawatankuasa Skim bermaksud Jawatankuasa
Kawasan/Sektor yang mengendalikan Skim Rondaan Sukarela dalam Kawasan/Sektor
Rukun Tetangga yang berkenaan.
2.3. Ahli Jawatankuasa Skim bermaksud Ahli
Jawatankuasa Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang mengendalikan Skim Rondaan
Sukarela dalam Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.
2.4. Pemastautin Sukarelawan bermaksud seseorang
yang telah membuat permohonan melalui Borang Enam dan Tujuh untuk menyertai
Skim tersebut.
2.5. Peralatan Rondaan bermaksud peralatan bagi
menjalankan Skim Rondaan Sukarela adalah seperti vest, wisel, cota, lampu
picit, baju hujan dan lain-lain yang dibekalkanoleh Jawatankuasa Skim.
2.6. Pengarah bermaksud seseorang yang telah
diwartakan sebagai Pengarah Rukun Tetangga di bawah Peraturan-Peraturan Perlu
(RT) 1975.
3. PUSAT RONDAAN
3.1. Setiap Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang
mengendalikan Skim Rondaan Sukarela perlu mempunyai sebuah pusat rondaan
sebagai pusat operasi.
3.2. Pusat rondaan boleh diadakan di pusat atau di
bangunan Rukun Tetangga, Balai raya, dewan orang ramai, pos kawalan, di rumah
ahli Jawatankuasa Skim atau di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai yang
dibenarkan oleh seseorang Pengarah Rukun Tetangga.
3.3. Alat-alat yang perlu ada di pusat rondaan adalah:
Buku Rekod Kedatangan, Daftar Pemastautin Sukarelawan, Buku Rekod Rondaan,
Kotak Pertolongan Cemas dan lain-lain peralatan yang difikirkan perlu oleh
Jawatankuasa Skim atau Pengarah Rukun Tetangga.
4. TUJUAN RONDAAN
4.1. Membantu mencegah jenayah dan gejala sosial yang
negatif di dalam kawasan rondaan.
4.2. Membendung kegiatan jenayah dan gejala sosial yang
negatif.
4.3. Membantu pihak berkuasa menangkap penjenayah dan
menyerahkan penjenayah tersebut kepada pihak polis dangan kadar segera.
4.4. Membantu menguatkuasa undang-undang jika diminta
berbuat demikian oleh Pengarah Rukun Tetangga dan lain-lain agensi penguatkuasa
seperti polis.
4.5. Memberi perlindungan ke atas nyawa dan harta benda
pemastautin.
4.6. Membantu melaksanakan lain-lain tugas yang diarahkan
oleh seseorang Pengarah Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Skim dari semasa ke
semasa.
5. TUGASAN RONDAAN
5.1. Tugas rondaan terbahagi kepada dua (2) kategori
iaitu rondaan berjalan kaki dan rondaan berkenderaan.
5.2. Rondaan berjalan kaki tidak kurang dari 3 orang
Pemastautin Sukarelawan dan kawasan rondaan tidak melebihi 2 kilometer.
5.3. Manakala rondaan berkenderaan tidak kurang dari 3
orang anggota Pemastautin Sukarelawan dan kawasan rondaan yang lebih luas.
5.4. Rondaan berkenderaan boleh dilaksanaan samada dengan
menggunakan kereta, motosikal atau basikal.
5.5. Setiap Pemastautin Sukarelawan adalah
bertanggungjawab bagi mendapatkan tarikh, masa dan kawasan rondaan daripada
Jawatankuasa Skim.
6. TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA SKIM
6.1. Menyediakan Daftar Pemastautin Sukarelawan
yang mengandungi butir-butir peribadi Pemastautin Sukarelawan.
6.2. Menyediakan Roster Rondaan Pemastautin
Sukarelawan.
6.3. Memaklumkan kepada semua Pemastautin Sukarelawan
kandungan Roster Rondaan dan membekalkan satu salinan kepada Pengarah Rukun
Tetangga dan pihak polis.
6.4. Mempamerkan Roster Rondaan di Pusat Rondaan.
6.5. Memilih seorang Pemastautin Sukarelawan sebagai
Ketua Kumpulan Rondaan bagi setiap syif.
6.6. Menyusun rondaan sukarela.
6.7. Mendapatkan Surat/Kad Pengenalan Diri Pemastautin
Sukarelawan yang telah ditandatangani Pengarah Rukun Tetangga.
6.8. Menyediakan peralatan rondaan yang diperlukan.
6.9. Mendapatkan sumber kewangan dan menjelaskan segala
perbelanjaan berkaitan dengan rondaan sukarela.
6.10. Memberi maklumat yang dikehendaki oleh Pengarah
Rukun Tetangga dan pihak Polis dari masa ke semasa berhubung dengan
pengendalian Skim Rondaan Sukarela.
6.11. Menyedia dan mengemukakan Laporan Bulanan Rondaan
kepada Pengarah Rukun Tetangga.
7. TAKLIMAT SEBELUM MEMULAKAN RONDAAN
7.1. Ketua Kumpulan Rondaan hendaklah membuat persediaan
pada tiap kali sebelum memulakan rondaan.
7.2. Takliamt sebelum memulakan rondaan hendaklah di
sampaikan oleh Ketua Kumpulan Rondaan, Jawatankausa Skim atau Ahli Jawatankuasa
Skim.
7.3. Anggota Pemastautin Sukarelawan hendaklah dibaris 15
minit sebelum keluar membuat rondaan dengan tujuan memastikan:
7.3.1. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan hadir.
7.3.2. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan yang
bertugas dibekalkan dengan peralatan rondaan.
7.3.3. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan
menandatangani Buku Rekod Kedatangan.
7.4. Memberi taklimat mengenai arahan-arahan seperti
berikut:
7.4.1. Laluan serta kawasan rondaan yang telah
ditetapkan.
7.4.2. Cara-cara menjalankan rondaan.
7.4.3. Perhubungan dengan orang ramai.
7.4.4. Perhubungan dengan polis dan lain-lain agensi
penguatkuasaan.
7.4.5. Arahan daripada Pengarah Rukun Tetangga dan
Jawatankuasa Skim.
7.4.6. Memberitahu tempat-tempat yang perlu diambil
perhatian untuk keselamatan diri.
7.4.7. Memberitahu kejadian-kejadian yang telah berlaku
berdasarkan maklumat orang ramai dan rondaan terdahulu dari ini.
7.5. Menyuraikan baris Pemastautin Sukarelawan selepas
taklimat.
7.6. Memberi arahan agar rondaan dimulakan mengikut
laluan serta kawasan rondaan yang telah ditetapkan.
8. CARA MENJALANKAN RONDAAN
8.1. Berjalan ditepi jalan dalam jarak yang selamat dari
kenderaan dihadapan dan kenderaan di belakang dan jika berkenderaan, kenderaan
mesti dipandu perlahan dalam jarak yang selamat dari pengguna jalan raya yang
lain.
8.2. Sentiasa berwaspada dan mengawasi keadaan serta
laluan dan kawasan rondaan.
8.3. Jika rondaan dibuat pada waktu malam hari, elakkan
dari membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman orang ramai.
8.4. Hendaklah menghubungi Pusat Rondaan bagi membuat
laporan mengenai keadaan semasa dan perkara-perkara yang memerlukan tindakan
segera Pusat Rondaan.
9. TANGGUNGJAWAB KETUA KUMPULAN RONDAAN
9.1. Mengetahui ahli-ahli kumpulan rondaan dalam syif
yang telah ditetapkan.
9.2. Memberi taklimat mengenai arah rondaan,
peraturan-peraturan/larangan serta tindakan yang perlu di ambil semasa rondaan
dan sebelum rondaan.
9.3. Mempastikan semua ahli syif menurunkan tandatangan
dalam Buku Rekod Kedatangan.
9.4. Mempastikan semua ahli syif membawa peralatan yang
ditentukan semasa rondaan.
9.5. Bertanggungjawab mengumpul semua peralatan yang
digunakan selepas selesai rondaan dan menyimpan dalam stor/tempat yang telah
ditentukan oleh Jawatankuasa Skim.
9.6. Mengawasi supaya ahli-ahli mematuhi arahan dan
peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Skim.
9.7. Membuat laporan dalam buku catatan Rondaan sesudah
selesai menjalankan rondaan mengikut syif yang telah ditetapkan.
10. TANGGUNGJAWAB PEMASTAUTIN SUKARELAWAN SEMASA RONDAAN
10.1. Sentiasa bersedia untuk mematuhi segala arahan
daripada Pengarah Rukun Tetangga, Jawatankuasa Skim, Ahli Jawatankuasa Skim dan
Ketua Kumpulan Rondaan.
10.2. Sentiasa membawa Surat/Kad Pengenalan Diri dan
menggunakan alat-alat yang ditentukan oleh Pengarah Rukun Tetangga dan
Jawatankuasa Skim.
10.3. Sentiasa menjaga disiplin serta berkelakuan penuh
tertib dan sopan semasa menjalankan Skim Rondaan Sukarela.
10.4. Sentiasa memakai ‘uniform’ yang telah diluluskan
serta dibenarkan oleh seseorang Pengarah Rukun Tetangga semasa rondaan.
10.5. Seseorang Pemastautin Sukarelawan hendaklah pada
sepanjang masa dan ketika:
a. Tidak mengingkari arahan Ketua Kumpulan Rondaan
b. Tidak menggunakan bahasa lucah dan memalukan, serta
memaki hamun pada masa bertugas;
c. Tidur atau berjudi;
d. Tidak memberi maklumat palsu;
e. Tidak hadir bertugas tanpa sebab;
f. Tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau apa-apa
dadah pada masa bertugas;
g. Tidak secara cual atau tanpa sebab-sebab yang
berpatutan menyebabkan terlepasnya tembakan sesuatu senjata api pada masa
bertugas; dan
h. Tidak bertindak dengan apa-apa cara yang tidak
dinyatakan di atas yang boleh memudaratkan kebajikan sesuatu Kawasan/Sektor
Rukun Tetangga.
11. KUASA MATA-MATA PEMASTAUTIN SUKARELAWAN SEMASA
RONDAAN
11.1. Seseorang Pemastautin Sukarelawan semasa bertugas
meronda atau mengawal dalam kawasan tugasnya adalah disifatkan sebagai seorang
pegawai polis berpangkat mata-mata dan mempunyai segala kewajipan, segala kuasa
dan segala imuniti seorang pegawai polis berpangkat mata-mata.
11.2. Walau bagaimanapun, kuasa mata-mata Pemastautin
Sukarelawan semasa bertugas meronda atau mengawal dalam kawasan tugasnya adalah
tertakluk kepada apa-apa atahan, syarat, sekatan atau batasan yang boleh
dinyatakan semasa secara lisan atau bertulis oleh seorang Pengarah,
Jawatankuasa Skim atau ahli Jawatankuasa Skim.
12. TAKLIMAT SELEPAS TAMAT RONDAAN
12.1. Ambil baris anggota Pemastautin Sukarelawan yang
habis tugas di luar pusat rondaan.
12.2. Ketua Kumpulan Rondaan perlu menentukan:
12.2.1. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan baik dari
tugas rondaan.
12.2.2. Arahan mengembalikan peralatan rondaan.
12.2.3. Memberi taklimat mengenai hasil daripada rondaan
yang telah dilaksanakan.
12.2.4. Menyurai baris tugas.
12.2.5. Membuat catatan serta laporan rondaan di dalam
Buku Rekod Rondaan.
13. MENJAWAB PANGGILAN TELEFON
13.1. Hendaklah menjawab telefon dengan tertib dan sopan
santun sebagai mana kehendaki oleh Pengarah Rukun Tetangga dan Jawatan Skim.
13.2. Mendengar dengan teliti dan mencatat apa-apa aduan,
berita atau makluman yang hendak disampaikan oleh mereka yang membuat
panggilan.
13.3. Memaklumkan dengan kadar segera apa-apaa aduan,
berita atau makluman kepada Pengarah Rukun Tetangga, Jawatankuasa Skim atau pihak
polis; jika ianya memerlukan tindakan segera dan serta merta.
4. PERSIAPAN MENYERAH TUGAS PENYELIAAN DI PUSAT RONDAAN
14.1. Ahli Jawatankuasa Skim atau Pemastautin Sukarelawan
yang ditugaskan di Pusat Rondaan dikehendaki membuat catatan satu senarai untuk
serah menyerah tugas bagi menyenangkan untuk meneliti dan mempastikan semua
perkara dalam keadaan lengkap.
14.2. Sebelum menerima tugas, ahli Jawatankausa Skim atau
Pemastautin Sukarelawan yang akan mengambil alih tugas menyelia Pusat Rondaan,
mempastikan semua borang dan peralatan yang adalah lengkap dan sempurna.
14.3. Memberi taklimat dan arahan tugas kepada yang
menerima tugas menyelia Pusat Rondaan.
14.4. Memberitahu jika ada aduan atau kes-kes terbaru
yang diterima.
14.5. Memberi penerangan mengenai tahunan atau tangkapan
samada masih dalam tahunan atau telah diserah kepada pihak polis.
14.6. Bersurai setelah diambil alih oleh ahli
Jawatankuasa Skim atau Pemastautin Sukarelawan yang baru masuk bertugas.
15. LAIN-LAIN TUGAS DI PUSAT RONDAAN
15.1. Membantu orang ramai menunjukkan tempat yang ingin
mereka pergi, contoh seperti ke rumah saudara mara dan sebagainya.
15.2. Menjadi mediator dalam sebarang pertelingkahan
orang ramai jika diminta berbuat demikian.
15.3. Menghubungi Balai Polis berhampiran bagi
mendapatkan maklumat atau bantuan jika diperlukan.
16. PENYELARASAN TUGAS DI PUSAT RONDAAN
16.1. Penyelarasan tugas di Pusat Rondaan akan ditentukan
oleh Jawatankuasa Skim.
16.2. Jawatankausa Skim bertanggungjawab melantik tidak
kurang daripada 4 orang ahli Jawankuasa Skim atau Pemastautin Sukarelawan pada
satu-satu masa sebagai Penyelia di pusat Rondaan sewaktu rondaan sedang
dilaksanakan.
16.3. Jawatankausa Skim bertanggungjawab bagi menentukan
waktu bertugas ahli Jawatankausa Skim atau Pemastautin Sukarelawan sebagai
Penyelia Pusat Rondaan mengikut roster rondaan yang telah ditetapkan.
16.4. Jawatankuasa Skim hendaklah melantik salah seorang
Penyelia Pusat Rondaan sebagai Ketua Penyelia Pusat Rondaan.
17. TUGAS PENYELIA PUSAT RONDAAN
17.1. Penyeliaan Pusat Rondaan hendaklah tiba di Pusat
Rondaan satu (1) jam lebih awal sebelum syif rondaan bermula.
17.2. Penyelia Pusat Rondaan hendaklah mempastikan semua peralatan
termasuk buku catatan bagi kegunaan rondaan telah disediakan oleh Jawatankausa
Skim.
18. PERHUBUNGAN DENGAN ORANG RAMAI
18.1. Mempastikan Ahli Jawatankausa Skim atau Pemastautin
Sukarelawan yang bertugas di Pusat Rondaan atau yang menjalankan rondaan
sentiasa menjaga disiplin, sopan dan santun serta berbudi bahasa dan pekerti
yang tinggi mutunya sewaktu berurusan dengan orang ramai.
19. KERJASAMA DENGAN PIHAK POLIS
19.1. Pihak polis hendaklah dimaklumkan mengenai
kewujudan Skim Rondaan Sukarela di Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang
berkenaan.
19.2. Satu salinan daftar Pemastautin Sukarelawan yang
terlibat dengan Skim Rondaan Sukarela dan roster hendaklah diberikan kepada
pihak polis.
19.3. Semua pihak termasuk Jawatankausa Skim, Ahli
Jawatankausa Skim dan Pemastautin Sukarelawan hendaklah memberi kerjasama
sepenuhnya kepada pihak polis berhubung dengan sebarang maklumat mengenai Skim
Rondaan Sukarela.
19.4. Pihak polis hendaklah juga dijemput untuk
bersama-sama meronda bersama Pemastautin Sukarelawan.
19.5. Sebarang kejadian atau laporan yang mencurigakan
hendaklah dimaklumkan kepada pihak polis sama ada oleh Jawatankuasa Skim
Rondaan Ahli Jawatankuasa Skim dan Pemastautin Sukarelawan.
20. MENERIMA ADUAN ORANG RAMAI DI PUSAT RONDAAN
20.1. Apabila menerima aduan daripada orang ramai,
tindakan yang perlu diambil oleh ahli Jawatankuasa Skim adalah:
20.1.1. Menerima dan membuat catatan di dalam buku
catatan.
20.1.2. Memaklumkan kepada Jawatankuasa Skim dengan kadar
segera.
20.1.3. Menerima arahan daripada Jawatankuasa Skim untuk
tindakan selanjutnya.
20.1.4. Merujuk kepada Balai Polis yang berdekatan untuk
tindakan selanjutnya.
20.1.5. Merujuk kepada Pengarah Rukun Tetangga untuk
tindan selanjutnya. a
21. KERJASAMA DENGAN LAIN-LAIN AGENSI KERAJAAN
21.1. Skim Rondaan Sukarela juga berharap untuk
mendapatkan kerjasama dengan lain-lain Agensi Kerajaan seperti RELA, JAKIM,
MAJLIS PERBANDARAN, PEJABAT, pejabat daerah serta lain-lain Agensi
Penguatkuasaan undang-undang dalam manjayakan Skim ini.
21.2. Sebarang bentuk kerjasama dengan lain-lain agensi
kerajaan boleh dibincangkan bersama dengan Pengarah Rukun Tetangga dan
Jawatankuasa Skim di mana Skim Rondaan Sukarela dilaksanakan.